cant afford not to share this. exam time, test time plus dosa yang banyak bertimbun, diri rasa malu ingin meminta.
contoh mudah, bila buat salah dengan orang, lepas itu hendak minta tolong dengan orang tersebut, betapa tebalnya muka. kerana ego, PRIDE, maruah, akhirnya mendiamkan diri, dan diri juga yang susah. tapi itu dengan manusia. ini dengan pencipta, dengan Yang Maha Esa, dengan Kekasih Tercinta.
ya! tidak tahu bagaimana kalian, tapi ini adalah daku, insan yang hina. dengan dosa yang tidak terkata. bagaimana ingin berdepan dengan Nya, bagaimana ingin memohon, merintis, ya, mohonlah ampun! selepas itu? diri masih lalai? di kala dalam penyesalan, lemah dan longlai, seorang sahabat berkongsi ini. diri terasa bagai disinari cahaya harapan. Bahawa indahnya cintaNya kepada hambaNya. Di kala hamba yang hina ini malu untuk bertemu denganNya, diberiNya satu jalan. seolah-olah membuka jalan penyelesaian konflik seorang hamba.
jangan dilihat siapa yang berkata, tapi dilihat apa yang dikatakan.
Aran Island |
Mohon Hajat Kepada Allah swt
Melalui Puasa dan Solat. [ sorotan nas ]
1. Memohon hajat dari Allah swt boleh dilakukan dengan terus berdoa kepada Allah swt dan boleh juga berdoa melalui tawassul [ perantaraan ]. Berbanding dengan berdoa sahaja, sudah tentu berdoa melalui tawassul lebih afdhal dengan syarat tawassul itu melalui kaedah yang disyariatkan Allah.
2. Antara bentuk tawassul yang disepakati oleh ulamak akan keharusannya ialah :
a. ] Tawassul melalui nama-nama Allah swt iaitu kita memohon hajat dengan menyebut-nyebut nama Allah swt khusus yang ada kaitan dengan hajat yang kita pohon. Firman Allah;
وَلِلّهِ الأَسْمَاء الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu” (Surah al-A’raf, ayat 180).
b. ] Tawassul dengan amal-amal yang soleh. Contohnya :
i. ] Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail berdoa kepada Allah selepas melaksanakan arahan Allah supaya mendirikan Kaabah; yakni mereka memanfaatkan saat-saat selepas melaksanakan perintah Allah untuk berdoa kepada Allah hajat mereka. Lihat dalam surah al-Baqarah, ayat 127-129.
ii. ] Kisah 3 orang pemuda yang terperangkap di dalam sebuah gua. Setiap mereka telah bertawassul dengan amal dan kebaikan yang pernah mereka lakukan untuk memohon pertolongan Allah sehingga akhirnya pintu gua terbuka. Kisah mereka ini diceritakan Rasulullah SAW dalam hadisnya. Lihat Riyadhus-Solihin, Bab al-Ikhlas, hadis no. 12 (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
iii. ] Para sahabat apabila mereka hendak menamatkan bacaan al-Quran, mereka akan menghimpunkan ahli keluarga untuk sama-sama berdoa sebaik tamat bacaan al-Quran kerana berdoa ketika itu adalah mustajab kerana baru selesai dari amalan. Diriwayatkan dengan sanad yang soheh dari Imam Mujahid yang berkata;
“Mereka (yakni para sahabat dan tabiin) akan berhimpun pada ketika hendak mengkhatamkan al-Quran. Menurut mereka; ketika itu rahmat akan turun”.
Ibnu Abi Daud meriwayat dengan sanad yang soheh dari Qatadah (seorang Tabiin, murid kepada sahabat Nabi Anas bin Malik r.a.) yang menceritakan;
“Anas bin Malik r.a. apabila hendak mengkhatam al-Quran, beliau akan menghimpunkan ahli keluarganya dan ia berdoa (untuk mereka)”. Berkata Imam an-Nawawi; berdoa sebaik sesudah khatam al-Quran amat-amat digalakkan.
c. ] Khusus mengenai memohon hajat [ munajat ] melalui tawassul dengan ibadah puasa dan solat, maka terdapat firman Allah swt :
وَاسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ
“Dan mohonlah pertolongan (dari Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang”
(Surah al-Baqarah, ayat 45).
3. Sabar dalam ayat di atas selain bermakna kesabaran mengikut erti yang biasa, menurut sebahagian ulamak ia juga bermaksud puasa, iaitu “Mohonlah pertolongan dari Allah dengan puasa dan solat (sembahyang)”.
4. Berkata Imam Ibnu Kathir dalam Tafsirnya; “Ada ulamak berpandangan; maksud sabar (dalam ayat di atas) ialah puasa. Pandangan ini direkodkan dari Imam Mujahid. Kerana itu bulan Ramadhan di namakan bulan kesabaran (kerana disyariatkan puasa di dalamnya) dan terdapat sabda Rasulullah SAW yang menegaskan;
الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ
“Puasa adalah separuh kesabaran”
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dari Abu Hurairah RA dan Imam at-Tirmizi dari seorang sahabat dari Bani Sulaim RA. Berkata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 3404, 4635 dan 5200).
5. Para ulamak telah mempraktik gabungan puasa dan solat ini semasa menjalankan solat Istisqa’ (Sembahyang minta hujan). Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili menjelaskan dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu; “Imam (Pemerintah Islam) disunatkan menyuruh orang ramai supaya berpuasa 3 hari sebelum solat Istisqa’. Pada hari terakhir puasa (yakni hari ke 3), mereka keluar untuk mengerjakan solat Istisqa’, atau mereka keluar pada hari keempat dalam keadaan berpuasa. Ini kerana puasa adalah wasilah untuk turunnya pertolongan Allah kerana Rasulullah SAW bersabda;
ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالْإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ
“Tiga manusia yang tidak akan ditolak doa mereka (oleh Allah);
a) Orang yang berpuasa hinggalah ia berbuka
b) Imam (pemimpin) yang adil
c) Doa orang yang dizalimi”.
(Riwayat Imam Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan. al-Azkar, Imam an-Nawawi; hadis no.; 479).
إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa -ketika berbukanya- doa yang tidak akan ditolak”
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dari Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a.. al-Azkar, Imam an-Nawawi; hadis no.; 484).
6. Menurut mazhab Syafiie Rahimahullah, Adalah dituntut ke atas orang ramai untuk mematuhi arahan Imam/Pemerintah (supaya berpuasa itu). Namun mazhab Hanbali berkata; Orang ramai tidaklah dituntut supaya berpuasa atas arahan imam itu (yakni mereka hanya digalakkan sahaja mematuhi arahan Imam supaya berpuasa itu)”.
7. Untuk melaksanakan puasa tiga hari berturut-turut, antara kaifiyatnya ialah berpuasa pada hari “Sabtu, Ahad dan Isnin” atau “Selasa, Rabu dan Khamis”. Ini sebagai mengambil amalan Rasulullah SAW sebagaimana diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah RA;
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ الشَّهْرِ السَّبْتَ وَالْأَحَدَ وَالِاثْنَيْنِ وَمِنْ الشَّهْرِ الْآخَرِ الثُّلَاثَاءَ وَالْأَرْبِعَاءَ وَالْخَمِيسَ
“Nabi SAW berpuasa pada suatu bulan; ‘hari Sabtu, Ahad dan Isnin’ dan pada bulan yang lain; ‘Selasa, Rabu dan Khamis’”
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau; hadis ini hasan).
8. Adapun arahan DPPM supaya berpuasa hari Khamis, Jumaat dan Sabtu juga tidak bertentangan dengan syara'.
a. ] Puasa Hari Khamis : sabda Rasulullah saw
ما رواه الترمذي [ ٧٤٥ ] عن عائشة رضي الله عنها قالت : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يتحرى صوم الاثنين و الخميس
Dari Aisyah Rha telah berkata : Adalah Rasulullah saw senantiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.
b. ] Puasa Hari Jumaat dan Sabtu .
لأن الرسول - صلى الله عليه وسلم - نهى أن يصام الجمعة، قال: (إلا أن تصوم يوما قبله أو يوما بعده). ولما صامت إحدى زوجاته - صلى الله عليه وسلم - يوم الجمعة قال: هل صمت أمس؟ قالت: لا، قال: هل تصومين غدا؟ قالت: لا قال: أفطري)
Sesungguhnya Rasulullah saw menegah berpuasa tunggal pada hari Jumaat. Sabdanya : Kecuali bahawa engkau berpuasa sehari sebelumnya [ khamis ] atau sehari selepasnya. Tatkala telah berpuasalah salah seorang dari isteri Baginda saw pada hari Jumaat. Rasulullah saw telah bersabda : Adakah engkau telah berpuasa semalam [ khamis ] Jawab Isteri Baginda saw : Tidak . Sabda Rasulullah saw : Adakah engkau akan berpuasa esok [ sabtu ] Isterinya menjawab : Tidak . Lalu Rasulullah saw bersabda : berbuka lah !
Rujuk Hukum dan Fatwa :
الشيخ العلامة محمد بن صالح بن محمد العثيمين
Ertinya, puasa yang terhenti pada hari Jumaat semata - mata adalah ditegah oleh Rasulullah saw sebagai tegahan makruh. Adapun puasa yang kembarkan seperti Khamis dan Jumaat atau Jumaat dan Sabtu maka ia diharuskan.
c. ] Puasa Hari Sabtu dan Ahad : Sabda Rasulullah saw :
روى أحمد ( ٦/٣٢٤ ) أنه صلى الله عليه وسلم كان يصوم يوم السبت و يوم الأحد أكثر مما يصوم من الأيام يقول : إنهما يوما عيد المشركين فأنا أحب أن أخالفهم
Rasulullah saw lebih banyak berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad dibandingkan dengan hari - hari yang lain. Baginda saw bersabda : Sesungguhnya kedua - dua hari ini adalah hari raya bagi orang musyrikin dan aku suka untuk menyalahi [perbuatan] mereka.
Riwayat Imam Ahmad
9. Bertawassul dengan solat pula merupakan amalan Rasulullah SAW yang tidak asing lagi. Diriwayatkan dari Huzaifah RA menceritakan;
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا حَزَبَهُ أَمْرٌ صَلَّى
“Nabi SAW apabila berlaku kepadanya suatu urusan yang getir, baginda akan mengerjakan solat”
(Hadis riwayat Imam Abu Daud dengan sanad yang hasan).
10. Usman bin Hunaif r.a. menceritakan, Seorang lelaki buta telah datang kepada Rasulullah s.a.w., lalu berkata; ‘Ya Rasulullah, kebutaanku ini telah menyulitkanku. Berdoalah kepada Allah supaya ia menyembuhkanku’. Nabi menjawab; “Jika engkau mahu, aku akan doakanmu. Jika kamu mahu, bersabarlah dan itu yang lebih baik bagimu”. Lelaki itu menjawab; “Doakanlah”. Lalu Nabi berkata kepadanya; “Pergilah kamu mengambil wudhuk dengan elok, kemudian tunaikanlah solat dua rakaat dan berdoalah seperti berikut;
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِمُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي قَدْ تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلَى رَبِّي فِي حَاجَتِي هَذِهِ لِتُقْضَى اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ فِيَّ
“Ya Allah, aku bermohon kepadaMu dan aku bertawajjuh kepadaMu dengan syafaat Nabi Muhammad, Nabi yang membawa rahmat. Wahai Muhammad, sesungguhnya aku telah bertawajjuh kepada Tuhanku dengan syafaatmu untuk hajat ku ini supaya ia dikabulkan. Ya Allah, terimalah Syafaatnya untukku”.
Kemudian lelaki itupun pulang dan Allah telah menyembuhkan penglihatannya
(Hadis riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, al-Hakim dan at-Thabrani. Menurut at-Tirmizi; hadis hasan soheh gharib. Lihat; al-Muntaqa, hadis no. 354. Al-Azkar, hadis no. 470).
Wallahu a’lam.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
di kala ujian yang menimpa diri, berhajatlah pada tuhan, mohon dipermudahkan. namun andai wujud perasaan malu, segan, maka, bertawassullah. insyAllah doa dimakbulkan.
semoga dipermudahkan semua urusan dunia dan akhirat wahai sahabat dan sahabiahku sekalian.